Sunday 1 May 2011

TAFSIR SURAH A L- FATIHAH

RUJUKAN TAFSIR AL-AZHAR
PROFFESOR DOKTOR HAMKA


1.)    Lafaz “ Bismillahirrahmanirrahim ”
"Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengetahui"

Ulama-ulama bersepakat tanpa ada khilaf mengatakan semua surah dalam Al-Quran dimulakan dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM  kecuali satu surah sahaja iaitu surah (At-Taubah-Baraah)

Keterangan : Dalam surah Al-Fatihah sebahagian Ulama mengatakan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM  adalah termasuk sebahagian daripada surah tersebut.

                     i.         Pendapat mereka ini disandarkan dengan dalil Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam Shahihnya yang diterima dari Anas bin Malik. Berkata Rasulullah s.a.w :

“Telah diturunkan kepadaku tadi satu surah. Lalu beliau membaca Bismillahir-Rahmanir-Rahim, sesungguhnya telah kami berikan kepada engkau sangat banyak, maka solatlah engkau kepada Tuhan engkau dan hendaklah engkau berkorban, sesungguhnya orang yang benci kepada engkau itulah yang akan putus keturunannya”

Keterangan Hadis : Di dalam Hadis ini jelas bahawasanya di antara Bismillahir-Rahmanir-Rahim dibaca senafas dengan surah yang selepasnya. Di sini berlakulah suatu qias, yakni sedangkan Surah Inna A’thoina yang paling pendek lagi beliau baca senafas dengan Bismilah sebagai pangkalnya, apatah lagi al-fatihah yang menjadi ibu dari segala isi al-quran dan apatah lagi surah-surah yang panjang-panjang.

                   ii.           Sebuah Hadis lain yang menguatkan lagi hadis di atas ialah yang diriwayatkan oleh Ad-Daruquthni dari Abu Hurairah, berkata dia : berkata Rasulullah s.a.w...

“Apabila kamu membaca Alhamdulillah iaitu surah al-fatihah maka bacalah Bismillahir-Rahmanir-Rahim, kerana sesungguhnya dia adalah ibu al-quran dan tujuh ayat yang diulang-ulang, sedang Bismillahir-Rahmanir-Rahim adalah salah satu dari ayatnya.

Namun ada sebahagian pendapat mengatakan lafaz Bismillahir-Rahmanir-Rahim di pangkal surah tersebut ialah ayat tunggal, diturunkan untuk penjelasan batas atau pemisah jangan tercampur aduk diantara satu surah dengan yang lain. Antara ulama yang memegang prinsip ini ialah Imam Malik dan beberapa ulama Madinah.

Manakala terdapat satu lagi pendapat yang berpandangan iaitu dari Imam Ahmad bin Hambal iaitu bahawasanya pada surah al-fatihah sahajalah Bismillahir-Rahmanir-Rahim itu termasuk sebagai salah satu daripada ayatnya, sedangkan pada surah-surah yang lain tidak demikian halnya.


2.)    ALHAMDULILLAHIRABBILALAMIN
“Segala puji-pujian hanya bagi Allah tuhan pemelihara semesta alam”

Keterangan : Tidak ada yang berhak mendapat pujian yang teragung melainkan Allah sahaja. Merujuk lafaz “LILLAH” yang bererti hanya semata-mata untuk Allah.  

Keterangan : pemelihara semesta alam – merujuk lafaz “RABBIL AALAMIN”
Perkataan Rabbun ini meliputi segala macam pemeliharaan, penjagaan, pendidikan dan pengasuhan. Dalam erti kata yang lain ianya dapat difahami bahawasanya ALLAH bukan sahaja berperanan sebagai Pencipta (AL-KHOLIQ) tetapi juga bertindak sebagai Pemelihara (AL-ROBBUN) kepada apa yang diciptakannya. Bukan sahaja menjadikan tetapi juga mengatur, seumpama matahari, bulan, bintang-bintang dan bumi ini sesudah semuanya dijadikan-Nya maka tidaklah dibiarkan begitu sahaja, melainkan dipelihara dan dikuasai
terus-menerus.


3.)    AR-RAHMANIR RAHIM
“Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani”

·        Keterangan : Maksud lafaz “AR-RAHMAN” (PEMURAH) ianya merujuk kepada sifat pemurah Allah Taala tidak hanya dikhususkan kepada penganut agama-agama tertentu, kaum-kaum tertentu, individu-individu tertentu, negara-negara tertentu tetapi sifat pemurah Allah Taala itu bersifat menyeluruh (universal) ataupun dalam erti kata yang lain tidak ada konsep pilih kasih Allah Taala dalam memgagihkan nikmat  kepada hamba-hamba-Nya tidak kira samada yang membuat pahala ataupun yang membuat dosa. Ini jelas dapat kita perhatikan dengan mata kepala kita sendiri walaupun seseorang itu pada zahirnya/luarannya melazimi perbuatan maksiat dan dosa namun atas sifat pemurah Allah maka dia turut diberikan nikmat kejayaan, kemajuan, kepandaian, kecerdikan dan pelbagai lagi nikmat yang mendatangkan kebaikkan untuk dirinya. Jika sekiranya nikmat-nikmat tersebut turut sama diberikan Allah kepada golongan yang sedemikian nescaya golongan yang beriman dan bartaqwa lebih-lebih lagi.

Dalam hal ini jelas membuktikan sifat pemurah Allah Taala meliputi setiap makhluk yang wujud di atas muka bumi ini tidak terkecuali walaupun satu makhluk. Ini secara tidak langsung menguatkan lagi  keimanan dan kepercayaan kita terhadap sifat-sifat kesempurnaan yang ada pada Allah Taala tanpa ada syak wasangka dan ragu-ragu lagi.


·        Keterangan : Maksud lafaz “AR-RAHIM” (PENYAYANG/MENGASIHANI) – ianya merujuk kepada sifat penyayangnya Allah Taala kepada hamba-hambanya yang beriman dan bertaqwa kepada-Nya sahaja. Dalam erti kata yang lain khusus untuk orang-orang yang beriman dan beramal soleh (beragama Islam) sahaja.


4.)    MAALIKIYAUMIDDIN
“Yang Menguasai Hari Pembalasan”

Keterangan : Kehidupan kita ini tidak hanya terhenti dan berpusat di dunia sahaja tetapi ada kesinambungannya iaitu kehidupan di negeri yang kekal abadi (Akhirat). Hari Akhirat sinonim dengan hari pembalasan/perhitungan segala amalan manusia samada baik mahupun jahat.


5.)    IYYAKANAQ’BUDU WAIYYAKANASTAIIN
“Hanya Engkau(Allah) yang kami sembah, dan hanya Engkau(Allah) tempat kami memohon segala apa jua pertolongan”

Keterangan : Lafaz “IYYA” di sini merujuk kepada hanya DIA(ALLAH) sahaja yang berhak untuk kita sembah dan diperakui segala kebenarannya tanpa ada keraguan. Manakala lafaz “IYYA” yang berikutnya merujuk kepada hanya DIA(ALLAH) tempat yang sebenar-benarnya untuk memohon segala apa bantuan dan pertolongan


6.)    IHDINAS SIROTOL MUSTAQIM
“Tunjukilah Kami Jalan Yang Lurus”

Keterangan : Lafaz “SIROTOL MUSTAQIM” di sini merujuk kepada Agama Islam dan Al-Quran yang padanya tidak ada kesesatan sampai bila-bila.


7.)    SIROTOL LAZINAAN’AM TAALAIHIM
Iaitu jalan orang-orang yang telah Engkau(Allah) beri nikmat ke atas mereka”

·        Keterangan : Permulaan (tanda) kepada keredhaan Allah kepada manusia itu ialah apabila tumbuh dalam jiwa manusia rasa keinsafan untuk beragama iaitu menjadikan Islam sebagai anutan yang bererti menyerah diri dengan sukarela kepada Tuhan dan disuntik nikmat Iman yang bererti kepercayaan yang penuh kepada Tuhan. Ekoran daripada Islam dan Iman maka akan timbul Ihsan iaitu perbuatan untuk memperbaiki dan mempertingkatkan kualiti dan mutu jiwa (rohani), maka kemudiannya lahirlah Nur di dalam jiwa, cahaya yang akan memberi sinar kepada kehidupan di dunia dan juga sinar kehidupan di akhirat.

Persoalannya, siapa yang menerima jalan dan nikmat tersebut?........
Adapun para Nabi, Rasul, Orang-orang yang gugur Syahid dan Orang-orang Shalih semuanya dikurniakan kebahagiaan oleh Allah Taala kerana menempuh jalan tersebut lantas............ kitapun ayuh sama-sama kita bermohon agar diberikan jua petunjuk supaya kita menempuh jalan itu dengan selamat.


QHAIRIL MA’DHU BI ALAIHIM
Bukan jalan mereka yang Engkau murkai”

·         Keterangan : Siapakah yang dimurkai Tuhan? Ialah orang yang telah diberikan kepadanya petunjuk, telah diutus kepadanya Rasul-rasul, telah diturunkan kepadanya Kitab-kitab Wahyu namun dia masih sahaja memperturutkan hawa nafsunya. Telah ditegur berkali-kali namun teguran itu tidak jua diperdulikannya. Dia merasakan dirinya lebih pintar daripada Allah, Rasul-rasul dicemuhkannya, petunjuk Tuhan diletakannya ke samping, tipu muslihat Syaitan diperturutkannya pula.


WALA’ DHAALLIN
“ Dan bukan jalan yang sesat”

·        Keterangan : Adapun orang yang sesat ialah orang yang berani membuat jalan sendiri iaitu jalan yang diluar kehendak Allah sebagaimana yang digariskan Allah

0 comments:

Post a Comment